09 June 2020

30 Days Writing Challenge: Day 2

Day 2: Thing that makes you happy

Perasaan gembira adalah keinginan semua orang. Dan semua orang juga berhak untuk mengecapi bahagia. Walaupun ukuran bahagia itu terletak kepada ketentuan definisi bagi seseorang. Jelasnya, segala yang di dunia dan akhirat, kan Tuhan ciptakan dengan kasih-sayangNya. Bermakna, setiap kejadian ada hikmah kebahagiaannya.

Pada aku, perkara-perkara yang membuatkan aku gembira adalah perkara-perkara yang mampu menyamankan fikiran, mendamaikan hati. Kerana tak dinafikan, ketenangan itulah yang akan membuatkan kita bahagia. Bahagia boleh jadi datang sebelumnya. Juga selepasnya.

Aku gembira… bila aku dapat mengawal emosi dan fikiran aku untuk sentiasa positif. Untuk sentiasa terorganisasi. Untuk sentiasa mengetahui apa yang perlu aku lakukan. Dan aku berjaya lakukannya. Mungkin ukuran kebahagiaan aku adalah apabila aku dapat merasa percaya diri yang tinggi. Perkara yang menjadikan aku bangga dengan diriku. Usahaku. Aku dapat capai apa yang aku inginkan.

Contohnya, agak klise bila aku katakan perkara bahagia adalah bila kita dapat menolong orang yang lebih susah. Tapi, itulah hakikat yang mutlak. Aku sentiasa teringat akan pesan dari ayahku, tentang menolong orang. Sangat mudah untuk berasa simpati dengan kesusahan orang lain. Tetapi untuk mencurahkan rasa empati, pastinya agak sukar. Empati adalah kita meletakkan kesusahan orang lain di tempat kita dan berasa bersyukur dengan Tuhan. Kita mendalami keperitan seseorang bukan sahaja daripada percakapan. Aku bahagia bila rasa empati datang lebih banyak daripada rasa simpati. Tetapi aku masih mencari empati yang ikhlas…

Rasa bahagia juga boleh terbit daripada sekecil-kecil perkara. Contohnya, udara yang kita hirup. Makanan yang cukup. Rezeki yang tak pernah tutup. Dulu, aku selalu rasa gembira bila dapat melihat luar jendela setiap pagi. Semasa belajar, itulah perkara rutin yang akan aku lakukan sebelum ke kelas. Itu adalah perkara kecil yang mampu mencipta bahagia besar dalam hidup aku.

Gembira, ya aku gembira dengan kehidupan aku. Jika diberikan pilihan dari Tuhan, aku ingin berasa gembira dalam kecukupan. Gembira dalam kesyukuran. Segala perkara yang mengingatkan aku kepada Pemberi Bahagia. Itu sudah cukup buat aku rasa gembira.

Gembira terbit daripada rasa bersyukur…

08 June 2020

30 Days Writing Challenge: Day 1


Day 1: Describe your personality

Susahnya nak mentafsir diri sendiri. Memang benar orang kata, hanya kita yang mengenal kita. Tetapi sejauh mana kita mengenal diri kita? Kadang-kadang kita juga bertemu jiwa-jiwa yang ragu di dalam mereka. Mereka ingin ditahu, mereka ingin didengar, mereka ingin difahami. Mereka ingin dirasai. Bagaimana kita mengenal kita?

Kalau aku, ini diri aku. Sampai bila untuk aku faham diri sendiri, aku pun tak tahu. Jadi untuk soalan pertama challenge ini, aku sudah rasa sangat berat. Sangat complicated untuk dihuraikan. Aku tidak mahu menjadi bias terhadap diri sendiri. Jadi aku cuba menulis seadil yang termampu.

Aku lebih senang dikenal orang sebagai seorang yang kreatif. Aku tidak mahir dalam akademik, apalagi urusan yang melibatkan organisasi atau peraturan. Aku paling tidak suka. Disebabkan itu juga, jiwa aku kalah apabila pernah ditugaskan bekerja di institusi kerajaan suatu ketika dulu.

Jiwa aku, jiwa yang mencari. Jiwa yang inginkan kebebasan. Jiwa yang ingin menghasilkan sesuatu. Tetapi seperti selalu, banyak perkara yang aku buat sekadar melepaskan batuk di tangga. Sekerat jalan. Aku tidak pasti puncanya. Sama ada daripada diriku sendiri, atau kurang sokongan daripada sekelilingku.

Aku ini, lain dari orang lain. Lain dari orang sekelilingku. Dapatkah aku menjadi diri sendiri? Dapatkah orang faham diri aku yang satu ini? Aku mahu jadi kreatif. Aku mahu jadi orang yang optimis. Aku mahu digelar serba boleh. Kerana, itu memang aku. Aku boleh menulis. Menyanyi. Bermain alat muzik. Dan aku tahu, banyak lagi perkara yang mampu aku lakukan. Cuba aku tidak explore. Aku tidak mahu kenal diri aku sendiri.

Mungkin pada orang lain, aku ini adalah perempuan yang menginspirasi (untuk orang sekelilingku yang benar-benar kenal diri aku). Diri aku yang sebagai penulis. Diri aku yang dikenali sebagai orang seni. Aku mahukan kehidupan yang itu. Aku mahu menginpirasikan orang lain. Aku mahu orang lain rasa bahagia macam apa yang aku lalui. Tetapi…

Aku percaya, orang rapat di sekelilingku tidak pernah melihat aku begitu. Pada mereka, aku ini mungkin seorang yang pentingkan diri sendiri. Terlalu mengikut emosi. Tidak relevan dengan fikiran orang lain. Ahhh, aku rasa banyak lagi tafsiran daripada mereka kalau ditanyakan.

Jadinya, personaliti aku ini ambivert mungkin. Aku boleh jadi intro-extro vert. Cuma kalau diberi pilihan, aku mahu menjadi orang yang bahagia dengan cara membahagiakan orang lain. Aku teringin jadi kaya supaya aku boleh berkongsi dengan orang lain. Aku teringin jadi orang yang berilmu supaya dunia akan selalu dipeluk dengan fikiran-fikiran yang nyaman. Aku teringin menjadi perempuan yang menginpsirasi supaya semua tahu indahnya berkongsi dan berbagi kebahagiaan.

Sampai sangat ini, aku masih belum benar-benar mengenali personaliti sendiri. Aku harap aku dapat menjadi yang terbaik di mata semua. Biar kita sama-sama berbahagia.  

Aku masih sesat…dalam diriku sendiri.

16 May 2020

Dear My Little Gem

Tahun ini adalah tahun ketiga saya bergelar warga pendidik di sebuah tadika swasta. Tahun ini juga, sambutan Hari Guru lebih berbeza daripada tahun sebelumnya. Tiada lagi hadiah. Tiada lagi ucapan penyejuk telinga. Yang paling saya rindu, pelukan hangat daripada semua rakan kerja dan anak-anak murid. Betapa kehidupan sekarang benar-benar mengajar tentang menekuni dan menghargai seseorang/sesuatu. 

Saya rindu mengajar. Walaupun di musim PKP kami masih lagi menjalankan pembelajaran melalui dalam talian, tetapi feelingnya tidak mungkin sama. Saya rindu menatap mata setiap daripada mereka sebelum memulakan kelas. Kemudian berleter kepada mereka supaya minum lebih banyak air sebelum kelas dimulakan. Walhal saya sendiri tahu benar, mereka tidak akan mungkin mengerti pentingnya air di waktu usia mereka yang masih kecil. Yang mereka tahu, perasaan teruja apabila saya memberikan sticker berupa bintang atau watak kartun kegemaran mereka untuk dilekatkan di botol air sebagai ganjaran sekiranya dapat minum air pada kadar yang secukupnya. Opsss...saya bukan merasuah, cuma berusaha menjadi katalis kepada mereka. Di usia begitu kecil, apalah yang mampu mereka hadam kecuali rasa gembira dan teruja diberikan ganjaran. Ganjaran yang menjadikan mereka berusaha menjadi lebih baik. Mereka akan tersenyum riang dan selalunya menghidupkan pagi saya setiap hari.

Wajah-wajah gembira itu yang saya rindukan sekarang.

Pada saat saya menulis ini, satu per satu bayangan mereka muncul di benak fikiran yang sudah lama menguntum rindu sejak sebulan yang lalu. Entah bagaimana pula hari yang bakal mendatang. Saya hanya mampu meneka-neka dan berdoa agar semuanya akan menjadi pulih secepatnya. Bantulah meredakan kerinduan kita semua terhadap orang yang kita sayangi.

Dear my little Gems,
Kita pasti akan menang suatu hari nanti. Kita akan berjumpa semula. Menyanyi bersama. Juga belajar bersama-sama. I can't wait to see you again... stay safe, my angels!

Memilih Menjadi Minimalis

Saya mula mendalami gaya hidup minimalism setahun yang lepas. Titik mulanya seingat saya melalui beberapa perkongsian dari Youtuber yang menarik. Sejak daripada itu, saya cuba memahami 'ilmu bahagia' yang sebenarnya. Pada saya, bahagia yang sebenarnya adalah apabila kita merasa cukup dengan setiap ada dan ketiadaan. Menuju ke daerah jiwa yang paling tenang. Dan minimalism membawa saya ke sana.


Selama setahun saya cuba membiasakan diri dengan gaya minimalism. Kadang payah. Selalu tak mudah. Dan selalu goyah. Tetapi pada saat saya benar-benar menghayatinya, saya rasa benar bahagia. Saya berasa cukup.

Jadi, apa sebenarnya minimalism? Konsepnya mudah. Perhatiannya harus fokus pada perbandingan memilih kualiti berbanding kuantiti. Dalam setiap aspek kehidupan. Ia meminimaliskan pilihan. Masa. Ruang. Buah fikir. Ringkasnya, dalam hidup kita punya banyak kehendak. Tetapi adakah semuanya adalah mustahak?

MINIMALISM adalah ilmu mengenai diri. Ilmu bagaimana mengenali diri sendiri. Antara keperluan dan kemahuan. Antara kepentingan dan ikutan. Minimalism bukanlah perkara tentang berapa banyak baju di dalam almari anda, barang di dalam rumah atau gaya ringkas yang selalu menjadi santapan dengan hashtag #ootdminimalism

Minimalism bukanlah hanya suatu gaya hidup yang menjadi trend pada masa kini (sekadar meneka-neka). Pada saya, ia lebih daripada itu. Ia adalah kehidupan sebenarnya harus kita praktikkan. Dan saya, akan terus memilih menjadi minimalis.

24 April 2020

Semoga Tuhan Menebarkan Wangi


Selesai sudah hari pertama untuk Ramadhan tahun ini. Saya dan keluarga di sini masih diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa bersama. Seperti juga tahun-tahun yang lalu, tidak ada banyak bezanya. Jika sebelum ini, saya dan adik yang tidak dapat menjalani puasa penuh di rumah (masih belajar di Shah Alam). Alhamdulillah tahun ini kami dapat berkumpul bersama menghayati bulan Ramadhan yang penuh mulia ini. 


Mengenangkan PKP yang diumumkan harus dipanjangkan lagi tempohnya, tentu meruntun hati kita semua. Ada sebilangan daripada kita yang tidak dapat pulang ke kampung menyambut Ramadhan bersama famili, yang mana mungkin setiap tahun merupakan ritual keluarga. Bagi penuntut-penuntut universiti pula ada yang terpaksa menjalani ibadah puasa di universiti masing-masing. Ada juga beberapa kenalan saya yang kehilangan orang tersayang di kala sedang menghitung hari menyambut puasa bersama tahun ini. Situasi-situasi ini sudah pasti seperti dihempuk perkhabaran yang kurang enak di dada. Siapa sangka, tahun ini bakal jadi puasa yang……… 


Saya tidak mahu menulis panjang kali ini. Berombak dada membayangkan diri berada di tempat yang tidak sesekali kita mahu. Biarlah Ramadhan bercerita tentang hari-hari kita menjalani ibadah puasa dengan lebih khusyuk daripada biasa. Terakam dalam kalungan doa kita semua, walau jauh dan dekat. Semoga Tuhan menebarkan wangi di wajah-wajah sedih. 


Selamat menyambut Ramadhan, 
Tawakal kita mencari Tuhan.


14 April 2020

Demikianlah Jed Stellarose

Berbaur rasanya hati apabila mendapat tahu ada juga beberapa kenalan yang sudi membaca tulisan saya di sini. Malah, lebih mengharukan ada yang memberi kata-kata semangat untuk teruskan menulis. Sepertinya berbunyi, "keep on writing!" dalam tegas. Harapan saya cuma semoga setiap penulisan yang dikongsikan di sini dapat menciptakan rantai inspirasi buat diri sendiri juga pembacanya.

..........................................

Saya suka membaca buku puisi. Seakan ada sesuatu yang perlu saya teladani setiap kali membaca puisi. Saya percaya puisi adalah ekspresi bahasa yang penuh dengan daya pikat tersendiri. Sejak membaca buku puisi Gaun Bulan, ada sesuatu yang dirasakan tentang Jed Stellarose. Penulisannya. Pendiriannya. Seterusnya menjadikan Jed Stellarose antara pemuisi yang saya gemari. Saya teruja untuk meramahi Jed lewat kiriman e-mel dan akhirnya berhasil. Rupanya Jed seorang penyair yang romantik tahap potong kaki. Percayalah!


1. Di manakah titik mulanya Jed Stellarose menulis? 

- Sebenarnya segalanya tercetus setelah saya menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Ada satu dialog dalam filem tersebut yang sangat-sangat mengesankan;

"Cinta bukan mengajarkan kita menjadi lemah. Tapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan melemahkan semangat, tapi membangkitkan semangat. Tunjukkan pada perempuan itu bahwa engkau tidak akan mati lantaran dibunuhnya!"

—Dialog yang saya kira mengubah sesuatu dalam diri saya. Saya jadi obses dengan tanggapan 'satu hari nanti dia akan memandang saya dari bawah dengan rasa menyesal'. Jadi bolehlah disimpulkan bahawa, segalanya bermula dari cinta, namun berbalut dendam yang dalam, saya mahu menulis.

Tentang proses menulis. Titik mulanya daripada seperca perasaan yang terbit di dalam hati, tidak kira marah atau sedih, rindu atau kasih. Saya cuba bergaul dengan alam dan bahasa yang indah-indah, sehinggalah segalanya terluah. Oh, sudah tentu sambil mendengarkan Chopin, Bach, Yiruma atau yang seangkatan dengannya. Demikianlah.


2. Adakah Jed setuju, sekiranya gaya penulisan Jed boleh dirujuk sebagai penulisan prosa puisi?

- Baik, apa itu puisi prosa? Prosa itu merupakan lawan bagi puisi. Sebuah karangan yang bertulis dengan bahasa biasa, tiada imaginasi dan kadangkala menjemukan. Tapi bagaimana kalau prosa itu, dipuisikan? Perpaduan dua genre yang berlawanan. Bila saya terfikirkan tentang idea tersebut (bukan idea saya), saya jadi jatuh suka akannya. Bagi saya, sudah tentu puisi itu dapat berkembang dengan lebih bebas, sesuai kemahuan saya. Ahaa. Tidak terikat dengan peraturan, namun masih melestarikan nilai estetik puisi. Jadi untuk merujuk gaya penulisan saya sebagai puisi prosa, iya la kut. Hahaha.


3. Jika kita ada Karim Mohd sebagai Rangga Malaya, ingin saya tegaskan bahawa kita juga punya sosok Aan Mansyur di dalam Jed Stellarose. Setujukah Jed?

- Bukan pertama kali saya dikaitkan dengan Aan Mansyur. Setuju atau tidak, saya tidak pernah menemukan jawapan yang meyakinkan untuk soalan tersebut. Jujur saya amat menggemari Aan Mansyur. Bila saya memutuskan untuk menulis puisi prosa, saya mulakan dengan meramahi karya-karya Aan, yang akhirnya membawa kepada rasa cinta akan puisi-puisinya. Tapi keinginan saya, semahunya saya tidak mahu puisi-puisi saya langsung membawa kepada ingatan tentang Aan, saya mahu dingati sebagai Jed. Jadi saya masih berusaha untuk merealisasikan kemahuan itu, Insya Allah semoga sempat sebelum ajal menjemput.


4. Kalau boleh dikongsikan antara puisi yang paling dikenang (tulisan sendiri atau penulis lain)?

Aku Ingin, karya Sapardi Djoko Damono. Saya mahu mencintai dengan sederhana. Sesederhana Pak Sapardi.


5. Selain menulis puisi, apakah bakat terpendam Jed yang tidak diketahui orang lain?

- Melukis potret. Tapi 8 tahun dah tak melukis. Entah masih boleh atau tidak. Tapi Insya Allah kalau ada jodoh nanti saya mahu memotret wajah isteri saya, hahahaha!


Demikianlah Jed Stellarose. Romantik bukan?


(Sekelopak Peristiwa - Jed Stellarose)

11 April 2020

2020: Sekadar Meneka-Neka


Mengapa saya menulis kembali?

Soalan ini saya ajukan kepada diri sendiri setelah berkira-kira untuk menulis kembali di blog yang telah lama saya pinggirkan. Kali terakhir post di blog ini kira-kira 2 tahun yang lalu. Itu pun telah banyak post-post yang saya buang dan simpan sebagai draf. Saya sebenarnya jarang sekali menulis di blog (sebenarnya di mana-mana media sosial pun). Saya kira dua tahun adalah waktu yang cukup lama untuk berehat dan meneka-neka nasib dalam berkarya. Meneka-neka?


Iya, saya selalu meragui penulisan sendiri. Siapakah pembacanya? Adakah sudah cukup rasa penulisan saya ini? Adakah sampai kepada pembaca? (lebih-lebih lagi puisi). Sehingga saya rasa rendah diri dengan rakan-rakan penulis yang lain dan hanya memerhatikan mereka dari jauh. Lama-kelamaan saya akur tekaan ini tidak akan pernah berakhir selagi saya tidak memulakannya kembali. Ini suatu pembelajaran yang terbaik untuk menilai kemampuan diri dan mencongak kelemahan seterusnya memperbaikinya dengan lapang hati. Jadi, saya gunakan peluang menulis di blog sebagai terapi pertama sebelum lebih yakin menulis puisi dan cerpen kembali. Semoga istiqomah!

..........................

Semalam, Tuan Perdana Menteri telah mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan selama empat belas hari lagi. Hampir runtun hati saya. Jika dikira-kira tempoh perintah kini mencecah empat puluh dua hari. Termasuk hari-hari berpuasa nanti. Mungkin juga selepas ini akan bertambah hari sehingga kita semua menyambut hari raya. Ah, sekadar meneka-neka lagi! 

Hari ini adalah hari yang ke dua puluh lima berada di rumah untuk perintah kawalan. Saya rindu kepada banyak perkara. Rindu famili jauh. Rindu kawan-kawan. Rindu melepak di taman dan perpustakaan awam. Paling tidak lupa, rindu untuk berjumpa anak-anak didik saya.

Oleh itu, saya cuba melakukan beberapa perkara baru dan berlagak tenang. Tidak semuanya baru, cuma dahulu tidak pernah banyak masa untuk melakukannya. Ia menyeronokkan juga!

  • Menonton Netflix
  • Melukis mandala
  • Mendengar podcast di Spotify
  • Membaca jurnal sebelum tidur
  • Menulis blog (Eleh, bukannya ada pembaca!)

Bagaimana pula dengan anda?

Seberapa lama pun tempoh perintah ini akan berlaku, kita harus terpaksa akur. Kita harus meletakkan syukur. Sehingga segalanya akan pulih seperti sedia kala. Atau mungkin akan lebih asing dan baru buat kita semua. (Sekadar meneka-neka!)

Akhir kalam, semoga kita akan bersedia dengan Kebiasaan Baru (The New Normal) nanti, bak kata Tuan PM!

05 August 2018

Love Letter To Myself

"There will be very painful moments in your life that will change your entire world in a matter of minutes. Those moments will change you. Let them make you stronger, smarter and kinder. But don't you go and become someone that you're not. Cry. Scream if you have to. Then, you straighten out that crown and keep moving."

Mengembara ke dalam jiwa dan bebaskanlah dirimu.

18 June 2018

Aku Akan Berada Di Sini

Aku akan berada di sini
Mencintai diriku sesederhana mungkin
Setelah 'berlebihan' itu ternyata menyakitkan

Kamar kata tidak mahu tidur

Bicaranya,
Malam menjadi bayang-bayang hitam lagi
Sajak-sajak yang meratap sesama sendiri

Aku akan berada di sini
Mencintai diriku sesederhana mungkin
Setelah tersedar daripada lena,
Kita ini tercipta dari kalau..

29 January 2018

Menjadi Perempuan Yang Ditinggalkan

Menjadi perempuan yang ditinggalkan itu
Akhirnya dimengertikan
Sedih semestanya perlu disegerakan
Semuanya harus menjadi asing setelah siang

Menjadi perempuan yang ditinggalkan itu
Akhirnya dimengertikan
Penantian mengajar menjadi lebih berani terhadap mimpi sendiri
Kerana pengorbanan tidak akan ada kepedulian

Menjadi perempuan yang ditinggalkan itu
Akhirnya dimengertikan
Kemaafan adalah antara perkara suci di dunia
Seperti sungai yang tenang mengalirkan kekalahan sendiri

Menjadi perempuan yang ditinggalkan itu
Akhirnya dimengertikan
Akan harapan tidak semestinya membunuh 
Mungkin juga akan menyembuh

Jika dia yang abadi, pasti akan kembali...

21 September 2017

Realiti

Semalam saya menulis tentang situasi memilih keputusan yang besar. Sememangnya payah dan tidak mudah. Dengan memilih, kita mengambil satu langkah rapat ke hadapan untuk berada di situasi yang baru. Realiti suatu keadaan.

Kita telah memilih untuk berada dalam keadaan tersebut. Keputusan yang dilakukan adalah arah anak panah. Sebagai pemanah, kita harus meneladani diri sendiri.

Pemanah harus tahu mengawal diri dan keadaannya. Busur adalah jiwa yang perlu tahu bagaimana bertindak dengan kepedulian sekeliling. Dan anak panah adalah langkah yang mesti sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Terus berjalan dan merdekakanlah diri. Supaya suatu hari nanti keputusan akan bangga bercerita dengan kejayaan tentang teladan kehidupannya.

20 September 2017

Sayonara

Mengambil sesuatu keputusan yang besar dalam hidup adalah cabaran yang tak pernah putus daripada risiko. Sebagaimana kita meletakkan diri dalam sesuatu keadaan yang sulit dan rumit, begitulah kekuatan harus ada bersamanya. 

Kadang kita akan merasa gagal dalam memilih keputusan. Atau ragu-ragu. Yang mana kekeliruan itu akan membuatkan kita jatuh dengan keyakinan sendiri.

Setiap apa yang berlaku, kepunyaan Dia dan ditandai dengan hikmah. Begitu juga dengan setiap keputusan yang telah dihitamputihkan dalam lembaran hidup;

Orang kata peluang hanya datang sekali. Dan sangat merugikan apabila melepaskan peluang yang ada di depan mata. Kadang kala kita tidak merugikan diri sendiri. Kita punya sebab melakukannya. Seterusnya kita perlu belajar menyelami kematangan dan mencipta peluang sendiri. Mungkin meninggalkan sesuatu adalah peluang yang mencipta peluang lain yang lebih besar.
Sayonara UKM...

Better things are coming. Terus berjalan dan merdekakanlah diri. 

04 April 2017

Tulis

Kebelakangan ini saya sering berfikir tentang bagaimana untuk terus menulis. Menjadikan menulis sebagai salah satu kewajipan yang perlu saya tunaikan setiap hari adalah suatu yang mustahil lagi. Untuk berkata jujur, tidak ada satu pun puisi yang saya tulis sepanjang melalui tahun 2017 ini. Sekadar ayat-ayat pendek yang mungkin dibilang orang puisi-puisi hipster. Ya, sekadar puisi hipster kononnya.

Sebelum ini saya tidak pernah membataskan pemikiran saya tentang kepanjangan-kependekkan sesebuah puisi. Ketelusan bahasanya mahupun kemewahan nilai sasteranya. Puisi pada saya sama sahaja selagi ia melalui proses menyampaikan sesuatu yang dirasa dari benak hati, pada pandangan saya. (boleh jadi puisi juga dari olahan fakta yang berada di sekeliling). Saya mempercayai ini,
"Menulislah pada saat awal dengan hati. Setelah itu, perbaiki tulisan itu dengan fikiran. Kunci pertama dalam menulis bukan dengan berfikir, melainkan mengungkapkan apa saja yang dirasakan." -  William Forrester
Malangnya kebelakangan ini, tulisan saya menjadi paranoid terhadap dirinya sendiri. Hati saya sering mengecil. Membungkam. Saya lebih suka membaca hati orang lain (baca: tulisan orang lain). Menulis puisi bukan suatu hal yang menyenangkan. Mungkin ada saatnya hati kita perlu berehat. Suatu hari nanti ia pasti akan membiak kembali. Bercambah dan bertambah. 



22 March 2017

Temu

Tak siapa mampu meneka takdir
Tak siapa tahu apa ada di akhir
Tubuh dan jiwa menyatu
Cinta dan sayang menyeru
Matahari mencipta mimpi
Bulan mengimbaskan memori
Aku menemukanmu

Tak siapa mampu meneka takdir
Tak siapa tahu apa ada di akhir
Setianya bidadari 
Walau berteman luka sepi
Awan menghitamkan pelangi
Rusuk akan terus menanti
Aku menemukanmu

Tak siapa mampu meneka takdir
Tak siapa tahu apa ada di akhir
Lunturku masih berwarna
Jatuhku terus berdiri
Tangisku tetap tersenyum
Kurangku kau melengkapi
Aku menemukanmu
      (Aku Menemukanmu, 2016)        


Menulis lagu puisi adalah sesuatu yang jarang saya lakukan. Teramat jarang. Jadi, jika dipinjamkan ilham dari Tuhan, saya akan melakukannya bersungguh-sungguh. Aku Menemukanmu ditulis sekitar tahun 2016 ketika saya menuntut di universiti dan sedang menyiapkan anak sulung saya, Qalb.

"Kenapa tak mahu orang cuba dengar lagu puisi kau?" Tanya adik.

Diam saya memberikan jawapan saya belum bersedia. Saya belum mampu berdiri utuh atau duduk kukuh untuk menyanyikan lagu puisi sendiri. Jujur, Aku Menemukanmu adalah buat seseorang yang bakal saya temui suatu hari nanti. Menemukannya adalah istimewa yang mega.

Percayalah, ada ketika kita perlu mencintai masa dan ruang terlebih dahulu. Masa saya akan sampai. Ruang saya akan terbuka. Saat itu, saya menemukan waktu saya (dia).


25 February 2017

25 December 2016

M.A.N.I.K

Hari ini, saya terpanggil untuk menulis tentang M.A.N.I.K yang telah berlangsung semalam di Kulai, tempat di mana saya membesar dan menempuh alam kanak-kanak. Saya fikir menulis tentang M.A.N.I.K adalah permulaan yang baik untuk membuka panggung penulisan saya yang pertama di blog ini. 

M.A.N.I.K ialah akronim bagi Malam Apresiasi Seni Kulai yang dianjurkan oleh barisan penggiat seni di pekan kami yang kecil ini. Yang lebih saya kenal antara mereka ialah Bue Hasnul. Menjadi antara rakan seperjuangan Bue Hasnul di universiti pada suatu ketika dahulu masih belum membuka jalan singkat untuk saya mengenali anak muda ini secara lebih dekat. Namun, daripada beberapa aktiviti seni yang diusahakan oleh Bue Hasnul dan rakan-rakannya membuatkan saya lebih mengenali jiwa anak-anak muda ini yang sememangnya tidak gentar dalam medan perjuangan seni.

Bergerak bersama falsafah Seni Untuk Umat, Bue Hasnul dan rakan-rakannya (Sekutu Ghuraba) membuatkan saya hanya mampu mengucapkan satu perkataan, wow! setiap kali menonton mereka beraksi. Pertama kalinya kami di Kulai telah dihidangkan dengan sajian seni yang sederhana tetapi sungguh lazat iaitu Teater Wallahu'alambissawab. Teater ini pada perspektif saya berjaya mencipta pandangan dan pemahaman bahawa persembahan teater yang bagus bukan sahaja boleh didapati dari harga tiket yang mahal ataupun pentas persembahan yang mewah seperti Istana Budaya. Berkonsepkan set persembahan yang minimalis dan sederhana, teater Wallahu'alambissawab cuma diadakan di celahan lorong yang kecil dan buruk. Saya yang hampir 22 tahun menetap di Kulai juga tidak pernah terfikir di lorong sebegitu dapat menjadi ruang eskapism dan ruang ekspresi seni yang cukup unik. Ini adalah perjuangan pertama mereka di sini dan hasilnya, sukses! Cukuplah saya katakan, Sekutu Ghuraba harus berlayar lebih jauh kerana mereka mempunyai kapal yang gah untuk mengharungi samudera seni.

Dan semalam, sekali lagi Bue Hasnul dan konco-konconya Sekutu Ghuraba berjaya mengibarkan layar mereka bersama acara M.A.N.I.K; persembahan akustik, puisi dan monolog. Acara ini berganding usaha bersama  penganjur,  PP7. M.A.N.I.K membuatkan kami yang gusar dengan renyai titisan gerimis menjadi seakan-akan tenang menikmati malam. Hujan pula seolah-olah malu untuk menjenguk kami yang gembira menyaksikan persembahan-persembahan yang tidak sedikit pun mengecewakan. Barisan penghibur seni yang terlibat juga tanpa putus-putus memberikan persembahan yang terbaik. Saya seakan tidak boleh melupakan alunan keroncong daripada Terang Bulan yang begitu mengasyikkan (terima kasih kerana memainkan lagu kegemaran saya; Keroncong Untuk Ana & Keroncong Hujan). Saya juga mengagumi kemampuan mereka menghasilkan lagu keroncong sendiri dengan alunan yang saya kira indah dan sedap didengar. Sehingga sekarang saya terpengaruh memainkan lagu-lagu keroncong sambil menyiapkan penulisan ini. Tidak dinafikan, persembahan-persembahan daripada The Oracle, Alunan Ndalu, Hanif Ngadmin, Sleepereena dan Seakan Bintang (artis kegemaran saya) seolah-olah menjadi penutup hari-hari terakhir tahun 2016 yang menyenangkan. Manakala, monolog dan puisi kemanusiaan daripada Azman Naim dan Bue Hasnul membuktikan bahawa seni itu harus sentiasa mengalir dan berfikir!

Sememangnya tidak terduga idea-idea yang bernas dihasilkan oleh mereka mampu merapatkan hubungan bukan sahaja antara seni dengan masyarakat tetapi juga hubungan antara masyarakat itu sendiri (Seni Untuk Umat). Selain Teater Walllahu'alambissawab dan M.A.N.I.K, mereka turut membuka langkah marak dengan usaha bergandingan mengadakan teater jalanan bersama penggiat teater tersohor Dinsman dan Ilhamdi dari negara seberang, Parti Merpati yang diserikan dengan kumpulan Pita Hati, bengkel teater bersama pelajar di sekolah dan acara Alun-Alun bersama masyarakat orang asli di Johor. Saya berasa sedikit terkilan kerana terlepas mengikuti acara-acara tersebut dan tidak berpeluang berada dalam kelompok mereka yang bertuah ini. Pada saya, usaha-usaha yang dilakukan tersebut adalah cara mereka mendekati masyarakat bersama seni dengan tenang dan sederhana. Saya akui, usaha ini adalah sesuatu yang luar biasa dan mereka bukanlah yang biasa-biasa!

Bue Hasnul dan rakan-rakannya sewajibnya pergi lebih jauh daripada ini. Tahniah!


"Indahnya manik terlihat saat ia disatukan"