Day 2: Thing that makes you happy
Perasaan gembira adalah keinginan semua orang. Dan
semua orang juga berhak untuk mengecapi bahagia. Walaupun ukuran bahagia itu
terletak kepada ketentuan definisi bagi seseorang. Jelasnya, segala yang di
dunia dan akhirat, kan Tuhan ciptakan dengan kasih-sayangNya. Bermakna, setiap
kejadian ada hikmah kebahagiaannya.
Pada aku, perkara-perkara yang membuatkan aku
gembira adalah perkara-perkara yang mampu menyamankan fikiran, mendamaikan
hati. Kerana tak dinafikan, ketenangan itulah yang akan membuatkan kita
bahagia. Bahagia boleh jadi datang sebelumnya. Juga selepasnya.
Aku gembira… bila aku dapat mengawal emosi dan
fikiran aku untuk sentiasa positif. Untuk sentiasa terorganisasi. Untuk sentiasa
mengetahui apa yang perlu aku lakukan. Dan aku berjaya lakukannya. Mungkin ukuran
kebahagiaan aku adalah apabila aku dapat merasa percaya diri yang tinggi. Perkara
yang menjadikan aku bangga dengan diriku. Usahaku. Aku dapat capai apa yang aku
inginkan.
Contohnya, agak klise bila aku katakan perkara
bahagia adalah bila kita dapat menolong orang yang lebih susah. Tapi, itulah
hakikat yang mutlak. Aku sentiasa teringat akan pesan dari ayahku, tentang
menolong orang. Sangat mudah untuk berasa simpati dengan kesusahan orang lain. Tetapi
untuk mencurahkan rasa empati, pastinya agak sukar. Empati adalah kita
meletakkan kesusahan orang lain di tempat kita dan berasa bersyukur dengan
Tuhan. Kita mendalami keperitan seseorang bukan sahaja daripada percakapan. Aku
bahagia bila rasa empati datang lebih banyak daripada rasa simpati. Tetapi aku
masih mencari empati yang ikhlas…
Rasa bahagia juga boleh terbit daripada
sekecil-kecil perkara. Contohnya, udara yang kita hirup. Makanan yang cukup. Rezeki
yang tak pernah tutup. Dulu, aku selalu rasa gembira bila dapat melihat luar
jendela setiap pagi. Semasa belajar, itulah perkara rutin yang akan aku lakukan
sebelum ke kelas. Itu adalah perkara kecil yang mampu mencipta bahagia besar
dalam hidup aku.
Gembira, ya aku gembira dengan kehidupan aku. Jika diberikan
pilihan dari Tuhan, aku ingin berasa gembira dalam kecukupan. Gembira
dalam kesyukuran. Segala perkara yang mengingatkan aku kepada Pemberi Bahagia. Itu
sudah cukup buat aku rasa gembira.
Gembira terbit daripada rasa bersyukur…
No comments:
Post a Comment