Mengapa saya menulis kembali?
Soalan ini saya ajukan kepada diri sendiri setelah berkira-kira untuk menulis kembali di blog yang telah lama saya pinggirkan. Kali terakhir post di blog ini kira-kira 2 tahun yang lalu. Itu pun telah banyak post-post yang saya buang dan simpan sebagai draf. Saya sebenarnya jarang sekali menulis di blog (sebenarnya di mana-mana media sosial pun). Saya kira dua tahun adalah waktu yang cukup lama untuk berehat dan meneka-neka nasib dalam berkarya. Meneka-neka?
Iya, saya selalu meragui penulisan sendiri. Siapakah pembacanya? Adakah sudah cukup rasa penulisan saya ini? Adakah sampai kepada pembaca? (lebih-lebih lagi puisi). Sehingga saya rasa rendah diri dengan rakan-rakan penulis yang lain dan hanya memerhatikan mereka dari jauh. Lama-kelamaan saya akur tekaan ini tidak akan pernah berakhir selagi saya tidak memulakannya kembali. Ini suatu pembelajaran yang terbaik untuk menilai kemampuan diri dan mencongak kelemahan seterusnya memperbaikinya dengan lapang hati. Jadi, saya gunakan peluang menulis di blog sebagai terapi pertama sebelum lebih yakin menulis puisi dan cerpen kembali. Semoga istiqomah!
..........................
Semalam, Tuan Perdana Menteri telah mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan selama empat belas hari lagi. Hampir runtun hati saya. Jika dikira-kira tempoh perintah kini mencecah empat puluh dua hari. Termasuk hari-hari berpuasa nanti. Mungkin juga selepas ini akan bertambah hari sehingga kita semua menyambut hari raya. Ah, sekadar meneka-neka lagi!
Hari ini adalah hari yang ke dua puluh lima berada di rumah untuk perintah kawalan. Saya rindu kepada banyak perkara. Rindu famili jauh. Rindu kawan-kawan. Rindu melepak di taman dan perpustakaan awam. Paling tidak lupa, rindu untuk berjumpa anak-anak didik saya.
Oleh itu, saya cuba melakukan beberapa perkara baru dan berlagak tenang. Tidak semuanya baru, cuma dahulu tidak pernah banyak masa untuk melakukannya. Ia menyeronokkan juga!
- Menonton Netflix
- Melukis mandala
- Mendengar podcast di Spotify
- Membaca jurnal sebelum tidur
- Menulis blog (Eleh, bukannya ada pembaca!)
Bagaimana pula dengan anda?
Seberapa lama pun tempoh perintah ini akan berlaku, kita harus terpaksa akur. Kita harus meletakkan syukur. Sehingga segalanya akan pulih seperti sedia kala. Atau mungkin akan lebih asing dan baru buat kita semua. (Sekadar meneka-neka!)
Akhir kalam, semoga kita akan bersedia dengan Kebiasaan Baru (The New Normal) nanti, bak kata Tuan PM!
Akhir kalam, semoga kita akan bersedia dengan Kebiasaan Baru (The New Normal) nanti, bak kata Tuan PM!
No comments:
Post a Comment