Saya mula mendalami gaya hidup minimalism setahun yang lepas. Titik mulanya seingat saya melalui beberapa perkongsian dari Youtuber yang menarik. Sejak daripada itu, saya cuba memahami 'ilmu bahagia' yang sebenarnya. Pada saya, bahagia yang sebenarnya adalah apabila kita merasa cukup dengan setiap ada dan ketiadaan. Menuju ke daerah jiwa yang paling tenang. Dan minimalism membawa saya ke sana.
Selama setahun saya cuba membiasakan diri dengan gaya minimalism. Kadang payah. Selalu tak mudah. Dan selalu goyah. Tetapi pada saat saya benar-benar menghayatinya, saya rasa benar bahagia. Saya berasa cukup.
Jadi, apa sebenarnya minimalism? Konsepnya mudah. Perhatiannya harus fokus pada perbandingan memilih kualiti berbanding kuantiti. Dalam setiap aspek kehidupan. Ia meminimaliskan pilihan. Masa. Ruang. Buah fikir. Ringkasnya, dalam hidup kita punya banyak kehendak. Tetapi adakah semuanya adalah mustahak?
MINIMALISM adalah ilmu mengenai diri. Ilmu bagaimana mengenali diri sendiri. Antara keperluan dan kemahuan. Antara kepentingan dan ikutan. Minimalism bukanlah perkara tentang berapa banyak baju di dalam almari anda, barang di dalam rumah atau gaya ringkas yang selalu menjadi santapan dengan hashtag #ootdminimalism
Minimalism bukanlah hanya suatu gaya hidup yang menjadi trend pada masa kini (sekadar meneka-neka). Pada saya, ia lebih daripada itu. Ia adalah kehidupan sebenarnya harus kita praktikkan. Dan saya, akan terus memilih menjadi minimalis.
Selesai sudah hari pertama untuk Ramadhan tahun ini. Saya dan keluarga di sini masih diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa bersama. Seperti juga tahun-tahun yang lalu, tidak ada banyak bezanya. Jika sebelum ini, saya dan adik yang tidak dapat menjalani puasa penuh di rumah (masih belajar di Shah Alam). Alhamdulillah tahun ini kami dapat berkumpul bersama menghayati bulan Ramadhan yang penuh mulia ini.
Mengenangkan PKP yang diumumkan harus dipanjangkan lagi tempohnya, tentu meruntun hati kita semua. Ada sebilangan daripada kita yang tidak dapat pulang ke kampung menyambut Ramadhan bersama famili, yang mana mungkin setiap tahun merupakan ritual keluarga. Bagi penuntut-penuntut universiti pula ada yang terpaksa menjalani ibadah puasa di universiti masing-masing. Ada juga beberapa kenalan saya yang kehilangan orang tersayang di kala sedang menghitung hari menyambut puasa bersama tahun ini. Situasi-situasi ini sudah pasti seperti dihempuk perkhabaran yang kurang enak di dada. Siapa sangka, tahun ini bakal jadi puasa yang………
Saya tidak mahu menulis panjang kali ini. Berombak dada membayangkan diri berada di tempat yang tidak sesekali kita mahu. Biarlah Ramadhan bercerita tentang hari-hari kita menjalani ibadah puasa dengan lebih khusyuk daripada biasa. Terakam dalam kalungan doa kita semua, walau jauh dan dekat. Semoga Tuhan menebarkan wangi di wajah-wajah sedih.
Berbaur rasanya hati apabila mendapat tahu ada juga beberapa kenalan yang sudi membaca tulisan saya di sini. Malah, lebih mengharukan ada yang memberi kata-kata semangat untuk teruskan menulis. Sepertinya berbunyi, "keep on writing!" dalam tegas. Harapan saya cuma semoga setiap penulisan yang dikongsikan di sini dapat menciptakan rantai inspirasi buat diri sendiri juga pembacanya.
..........................................
Saya suka membaca buku puisi. Seakan ada sesuatu yang perlu saya teladani setiap kali membaca puisi. Saya percaya puisi adalah ekspresi bahasa yang penuh dengan daya pikat tersendiri. Sejak membaca buku puisi Gaun Bulan, ada sesuatu yang dirasakan tentang Jed Stellarose. Penulisannya. Pendiriannya. Seterusnya menjadikan Jed Stellarose antara pemuisi yang saya gemari. Saya teruja untuk meramahi Jed lewat kiriman e-mel dan akhirnya berhasil. Rupanya Jed seorang penyair yang romantik tahap potong kaki. Percayalah!
1. Di manakah titik mulanya Jed Stellarose
menulis?
- Sebenarnya segalanya tercetus setelah
saya menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Ada satu dialog dalam
filem tersebut yang sangat-sangat mengesankan;
"Cinta bukan mengajarkan kita menjadi
lemah. Tapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan melemahkan semangat, tapi
membangkitkan semangat. Tunjukkan pada perempuan itu bahwa engkau tidak akan
mati lantaran dibunuhnya!"
—Dialog yang saya kira mengubah sesuatu
dalam diri saya. Saya jadi obses dengan tanggapan 'satu hari nanti dia akan
memandang saya dari bawah dengan rasa menyesal'. Jadi bolehlah disimpulkan
bahawa, segalanya bermula dari cinta, namun berbalut dendam yang dalam, saya
mahu menulis.
Tentang proses menulis. Titik mulanya
daripada seperca perasaan yang terbit di dalam hati, tidak kira marah atau
sedih, rindu atau kasih. Saya cuba bergaul dengan alam dan bahasa yang
indah-indah, sehinggalah segalanya terluah. Oh, sudah tentu sambil mendengarkan
Chopin, Bach, Yiruma atau yang seangkatan dengannya. Demikianlah.
2. Adakah Jed setuju, sekiranya gaya
penulisan Jed boleh dirujuk sebagai penulisan prosa puisi?
- Baik, apa itu puisi prosa? Prosa itu
merupakan lawan bagi puisi. Sebuah karangan yang bertulis dengan bahasa biasa,
tiada imaginasi dan kadangkala menjemukan. Tapi bagaimana kalau prosa itu,
dipuisikan? Perpaduan dua genre yang berlawanan. Bila saya terfikirkan tentang
idea tersebut (bukan idea saya), saya jadi jatuh suka akannya. Bagi saya, sudah
tentu puisi itu dapat berkembang dengan lebih bebas, sesuai kemahuan saya.
Ahaa. Tidak terikat dengan peraturan, namun masih melestarikan nilai estetik
puisi. Jadi untuk merujuk gaya penulisan saya sebagai puisi prosa, iya la kut.
Hahaha.
3. Jika kita ada Karim Mohd sebagai Rangga
Malaya, ingin saya tegaskan bahawa kita juga punya sosok Aan Mansyur di dalam
Jed Stellarose. Setujukah Jed?
- Bukan pertama kali saya dikaitkan dengan
Aan Mansyur. Setuju atau tidak, saya tidak pernah menemukan jawapan yang
meyakinkan untuk soalan tersebut. Jujur saya amat menggemari Aan Mansyur. Bila
saya memutuskan untuk menulis puisi prosa, saya mulakan dengan meramahi
karya-karya Aan, yang akhirnya membawa kepada rasa cinta akan puisi-puisinya.
Tapi keinginan saya, semahunya saya tidak mahu puisi-puisi saya langsung
membawa kepada ingatan tentang Aan, saya mahu dingati sebagai Jed. Jadi saya
masih berusaha untuk merealisasikan kemahuan itu, Insya Allah semoga sempat
sebelum ajal menjemput.
4. Kalau boleh dikongsikan antara puisi
yang paling dikenang (tulisan sendiri atau penulis lain)?
Aku Ingin, karya Sapardi Djoko Damono. Saya
mahu mencintai dengan sederhana. Sesederhana Pak Sapardi.
5. Selain menulis puisi, apakah bakat
terpendam Jed yang tidak diketahui orang lain?
- Melukis potret. Tapi 8 tahun dah tak
melukis. Entah masih boleh atau tidak. Tapi Insya Allah kalau ada jodoh nanti
saya mahu memotret wajah isteri saya, hahahaha!