25 December 2016

M.A.N.I.K

Hari ini, saya terpanggil untuk menulis tentang M.A.N.I.K yang telah berlangsung semalam di Kulai, tempat di mana saya membesar dan menempuh alam kanak-kanak. Saya fikir menulis tentang M.A.N.I.K adalah permulaan yang baik untuk membuka panggung penulisan saya yang pertama di blog ini. 

M.A.N.I.K ialah akronim bagi Malam Apresiasi Seni Kulai yang dianjurkan oleh barisan penggiat seni di pekan kami yang kecil ini. Yang lebih saya kenal antara mereka ialah Bue Hasnul. Menjadi antara rakan seperjuangan Bue Hasnul di universiti pada suatu ketika dahulu masih belum membuka jalan singkat untuk saya mengenali anak muda ini secara lebih dekat. Namun, daripada beberapa aktiviti seni yang diusahakan oleh Bue Hasnul dan rakan-rakannya membuatkan saya lebih mengenali jiwa anak-anak muda ini yang sememangnya tidak gentar dalam medan perjuangan seni.

Bergerak bersama falsafah Seni Untuk Umat, Bue Hasnul dan rakan-rakannya (Sekutu Ghuraba) membuatkan saya hanya mampu mengucapkan satu perkataan, wow! setiap kali menonton mereka beraksi. Pertama kalinya kami di Kulai telah dihidangkan dengan sajian seni yang sederhana tetapi sungguh lazat iaitu Teater Wallahu'alambissawab. Teater ini pada perspektif saya berjaya mencipta pandangan dan pemahaman bahawa persembahan teater yang bagus bukan sahaja boleh didapati dari harga tiket yang mahal ataupun pentas persembahan yang mewah seperti Istana Budaya. Berkonsepkan set persembahan yang minimalis dan sederhana, teater Wallahu'alambissawab cuma diadakan di celahan lorong yang kecil dan buruk. Saya yang hampir 22 tahun menetap di Kulai juga tidak pernah terfikir di lorong sebegitu dapat menjadi ruang eskapism dan ruang ekspresi seni yang cukup unik. Ini adalah perjuangan pertama mereka di sini dan hasilnya, sukses! Cukuplah saya katakan, Sekutu Ghuraba harus berlayar lebih jauh kerana mereka mempunyai kapal yang gah untuk mengharungi samudera seni.

Dan semalam, sekali lagi Bue Hasnul dan konco-konconya Sekutu Ghuraba berjaya mengibarkan layar mereka bersama acara M.A.N.I.K; persembahan akustik, puisi dan monolog. Acara ini berganding usaha bersama  penganjur,  PP7. M.A.N.I.K membuatkan kami yang gusar dengan renyai titisan gerimis menjadi seakan-akan tenang menikmati malam. Hujan pula seolah-olah malu untuk menjenguk kami yang gembira menyaksikan persembahan-persembahan yang tidak sedikit pun mengecewakan. Barisan penghibur seni yang terlibat juga tanpa putus-putus memberikan persembahan yang terbaik. Saya seakan tidak boleh melupakan alunan keroncong daripada Terang Bulan yang begitu mengasyikkan (terima kasih kerana memainkan lagu kegemaran saya; Keroncong Untuk Ana & Keroncong Hujan). Saya juga mengagumi kemampuan mereka menghasilkan lagu keroncong sendiri dengan alunan yang saya kira indah dan sedap didengar. Sehingga sekarang saya terpengaruh memainkan lagu-lagu keroncong sambil menyiapkan penulisan ini. Tidak dinafikan, persembahan-persembahan daripada The Oracle, Alunan Ndalu, Hanif Ngadmin, Sleepereena dan Seakan Bintang (artis kegemaran saya) seolah-olah menjadi penutup hari-hari terakhir tahun 2016 yang menyenangkan. Manakala, monolog dan puisi kemanusiaan daripada Azman Naim dan Bue Hasnul membuktikan bahawa seni itu harus sentiasa mengalir dan berfikir!

Sememangnya tidak terduga idea-idea yang bernas dihasilkan oleh mereka mampu merapatkan hubungan bukan sahaja antara seni dengan masyarakat tetapi juga hubungan antara masyarakat itu sendiri (Seni Untuk Umat). Selain Teater Walllahu'alambissawab dan M.A.N.I.K, mereka turut membuka langkah marak dengan usaha bergandingan mengadakan teater jalanan bersama penggiat teater tersohor Dinsman dan Ilhamdi dari negara seberang, Parti Merpati yang diserikan dengan kumpulan Pita Hati, bengkel teater bersama pelajar di sekolah dan acara Alun-Alun bersama masyarakat orang asli di Johor. Saya berasa sedikit terkilan kerana terlepas mengikuti acara-acara tersebut dan tidak berpeluang berada dalam kelompok mereka yang bertuah ini. Pada saya, usaha-usaha yang dilakukan tersebut adalah cara mereka mendekati masyarakat bersama seni dengan tenang dan sederhana. Saya akui, usaha ini adalah sesuatu yang luar biasa dan mereka bukanlah yang biasa-biasa!

Bue Hasnul dan rakan-rakannya sewajibnya pergi lebih jauh daripada ini. Tahniah!


"Indahnya manik terlihat saat ia disatukan"